Mesyuarat 7th Quarterly Virtual Meeting of the ASEAN-U.S. Infection Prevention and Control (IPC) Task Force telah berjaya dilaksanakan secara maya pada 9 Disember 2025, menghimpunkan wakil negara-negara Anggota ASEAN, US Centers for Disease Control and Prevention (US CDC), Sekretariat ASEAN serta Sekretariat Task Force. Mesyuarat ini merupakan platform berterusan bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam pencegahan dan kawalan jangkitan di rantau Asia Tenggara.
Task Force ini merupakan penggerak utama aktiviti di bawah Work Programme 2021–2025 of AHC 2 dan ASEAN-US IPC Task Force Work Plan 2023–2025, yang telah bermula secara rasmi pada Mei 2023. Pelaksanaan aktiviti teknikal pelan kerja ini diterajui oleh negara-negara anggota ASEAN, iaitu Kemboja (Aktiviti 5), Singapura (Aktiviti 6), Indonesia (Aktiviti 7) dan Malaysia sebagai lead country bagi Aktiviti 8.
Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada kemas kini pentadbiran Task Force dan perkembangan pelaksanaan aktiviti teknikal di bawah Pelan Kerja ASEAN-US IPC Task Force 2023–2025, termasuk perkongsian kemajuan, cabaran serta langkah susulan oleh negara-negara peneraju aktiviti. Perbincangan ini bertujuan memastikan kesinambungan dan keberkesanan pelaksanaan inisiatif IPC di peringkat serantau.
Selain itu, para ahli turut membincangkan cadangan aktiviti dan hala tuju strategik di bawah draf Pelan Kerja ASEAN-US IPC Task Force 2026–2030, dengan penekanan kepada pemahaman landskap IPC di negara-negara ASEAN, pembangunan sumber IPC yang bersesuaian dengan konteks tempatan serta penjanaan bukti bagi menyokong sistem penjagaan kesihatan yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Secara keseluruhan, penyertaan aktif Malaysia melalui Unit Kawalan Infeksi KKM mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyokong agenda IPC di peringkat serantau dan antarabangsa, sejajar dengan keutamaan ASEAN Health Cluster 2 serta usaha memperkukuh keselamatan pesakit dan kesiapsiagaan sistem kesihatan.



