Tahun 2025 menyaksikan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN, satu tanggungjawab penting dalam menerajui halatuju kerjasama serantau di pelbagai sektor, termasuk kesihatan awam. Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memainkan peranan utama dalam menerajui Mesyuarat Kepengerusian ASEAN bagi sektor kesihatan. Inisiatif ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuhkan kerjasama kesihatan antara negara-negara ASEAN, mengangkat isu-isu kesihatan serantau ke peringkat yang lebih tinggi, serta memacu agenda kesihatan yang inklusif, mampan, dan berdaya tahan.
Melalui penganjuran pelbagai mesyuarat, bengkel, dan inisiatif bersama, KKM beriltizam untuk memastikan kepengerusian ini memberi impak yang bermakna kepada sistem kesihatan serantau, terutamanya dalam bidang seperti kesiapsiagaan kecemasan kesihatan awam, pengukuhan sistem kesihatan, penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, serta inovasi dalam penjagaan kesihatan.
Sehubungan itu, di peringkat KKM, YBhg. Dato’ Sri Ketua Setiausaha KKM telah memutuskan agar satu Jawatankuasa (JK) Induk dimana dibawahnya adalah JK Substantif diwujudkan. JK Substantif berperanan untuk menjalankan persediaan dan penyelarasan bagi mesyuarat 19th SOMHD daripada sudut substantif. Mesyuarat JK Substantif dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam).
Pada 24 April 2025 (Khamis), Unit Kawalan Infeksi, selaku focal point bagi AMR dan IPC di dalam AHC 2 telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Substantif Sempena Kepengerusian ASEAN pada Tahun 2025 bagi Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia Bil.2/ 2025 yang dijalankan secara atas talian dan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.
Mesyuarat bertujuan untuk membincangkan status terkini persediaan KKM sempena Kepengerusian ASEAN 2025, menyelaras peranan dan tanggungjawab setiap subkomponen/subjawatankuasa, serta memastikan pelaksanaan inisiatif dan aktiviti yang dirancang berjalan lancar selaras dengan tema dan keutamaan kesihatan serantau. Mesyuarat ini juga menjadi platform bagi mengemaskini perkembangan, mengenal pasti cabaran, dan merangka tindakan susulan secara kolektif bagi memastikan pencapaian objektif kepengerusian yang berimpak tinggi.


